PM Anwar nyata pendirian mengenai Palestin semasa lawatan ke Singapura
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menyatakan pendirian Malaysia supaya gencatan senjata dikuatkuasakan di Gaza.
Bercakap pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, sempena Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10, di Singapura pada Isnin, beliau menegaskan Malaysia turut mendesak rejim Zionis menghentikan serangan ke atas orang awam tidak berdosa.
Tambahnya, Malaysia dan Singapura mempunyai pendirian sama dengan menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya gencatan senjata segera dilaksanakan di wilayah bergolak.
“Malaysia mempunyai pendirian lebih tegas dalam isu Palestin, paling utama adalah keamanan di wilayah bergolak dengan pembunuhan kepada orang awam terutama kanak-kanak dan wanita perlu dihentikan segera.
“Saya juga sudah bertemu beberapa pemimpin Islam dan negara Arab utama bagi menyatakan pendirian Malaysia supaya penyelesaian secara aman dapat dicapai selain bantuan kemanusiaan dapat disalurkan segera kepada rakyat Palestin terjejas,” katanya.
Anwar tiba di Singapura malam Ahad, untuk lawatan kerja selama dua hari. Ia lawatan ketiga Anwar ke republik itu sejak dilantik sebagai perdana menteri.
Beliau berada di sini pada Januari tahun ini untuk lawatan rasmi sulungnya ke Singapura selaku Perdana Menteri dan pada September lalu beliau menyertai dua sesi khas di Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Institut Milken.
Sementara itu dalam sidang media sama, Anwar turut berkata, Malaysia juga mahu urusan bantuan kemanusiaan dipermudahkan serta kezaliman, kesengsaraan dan penderitaan yang dialami rakyat Palestin selama ini dinoktahkan.