Tak betul dakwaan ekonomi negara merudum, tegas Rafizi
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli membidas dakwaan seorang wakil rakyat PAS yang mendakwa ekonomi negara sedang merudum.
Rafizi pada sidang Dewan Rakyat pada Isnin berkata, dakwaan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) itu tidak tepat kerana ia bertentangan data yang menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang menaik sementara kadar pengangguran dan inflasi rendah.
“Tak betul Temerloh kata ekonomi merudum. Dekat mana kata ekonomi merudum.
“Pertumbuhan ekonomi naik dari satu suku ke satu suku. Kadar pengangguran rendah dan kadar inflasi terendah. Kecualilah takrif ekonomi merudum itu pandai-pandai dibuat Temerloh.” katanya pada penggulungan Belanjawan 2024 peringkat dasar.
Salamiah sebelumnya berkata kerajaan tidak patut mengurangkan subsidi dalam keadaan ekonomi yang didakwanya merudum.
Rafizi sementara itu menambah, ekonomi hanya boleh dikatakan merudum apabila ia tidak berkembang, gaji jatuh, dan rakyat hilang pekerjaan.
Beliau turut menyangkal dakwaan nilai mata wang rendah tanda ekonomi negara bermasalah.
“Mata wang negara lain turut terkesan dengan langkah kerajaan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah, selain pergolakan.
“Bila berlaku pergolakan sudah tentu pelabur-pelabur mengambil langkah biasa iaitu memegang aset yang dikira paling stabil, iaitu sama ada emas atau dolar,” jelasnya.
Sementara itu, Rafizi meminta pembangkang supaya berlaku adil apabila bercakap tentang ekonomi kerana mana-mana pentadbiran selepas ini akan berdepan cabaran sama.