3 notis dari AS bukti suara Malaysia pertahan Palestin dapat perhatian dunia – ABIM
Suara rakyat dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan hak asasi warga Palestin mendapat perhatian kuasa besar dunia.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ia terbukti apabila apabila sekutu Israel, Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan tiga notis tata tindak terhadap kerajaan.
“ABIM memandang berat kenyataan dimaklumkan Perdana Menteri ketika sidang Dewan Rakyat hari ini bahawa Malaysia menerima tiga notis tata tindak daripada AS menerusi kedutaannya kerana enggan menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.
“Berdasarkan tindakan ini, ia jelas menunjukkan keberadaan suara rakyat dan kerajaan Malaysia dalam mempertahankan hak asasi warga Palestin sudah mendapat perhatian daripada kuasa besar dunia,” katanya.
Justeru Muhammad Faisal menggesa dukungan sepenuhnya diberikan rakyat kepada kerajaan untuk terus memperjuangkan isu Palestin di pentas antarabangsa.
Anwar pada Selasa mendedahkan Malaysia menerima tiga notis tata tindak daripada Kedutaan AS kerana keengganan negara menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.
Beliau dilaporkan berkata, notis rasmi dipanggil demarche itu diterima Kementerian Luar masing-masing pada 13 dan 30 Oktober lalu.
Sementara itu menurut Muhammad Faisal, demarche dalam konteks politik antarabangsa bermaksud tindakan protes secara rasmi yang dikemukakan menerusi saluran diplomatik.
“Justeru, menerusi solidariti masyarakat dunia terhadap rakyat Palestin semakin memuncak, sewajarnya dukungan sepenuhnya diberikan kepada kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, untuk terus memperjuangkan isu terbabit di pentas antarabangsa,” jelasnya.
Beliau sementara itu turut menuntut seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama terus berjuang melangkaui batas perbezaan pendirian politik, latar agama serta bangsa.