Demi Palestin: PM arah menteri hubungi Turkiye dan Arab Saudi berhubung sidang tergempar OIC
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengiatkan usaha bagi membebaskan Palestin dari pencerobohan dan keganasan rejim Israel.
Terbaharu, beliau melalui satu catatan di laman Facebooknya memaklumkan sudah meminta Turkiye dan Arab Saudi dihubungi untuk menyatakan kewajaran dan sokongan agar sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diadakan bagi membincangkan usaha itu.
Malah beliau turut menyarankan negara-negara yang turut mahu keganasan Israel ditamatkan dijemput ke mesyuarat tersebut.
“Sidang ini juga harus melibatkan negara-negara seperti Brazil, Rusia dan China yang menyatakan sikap tegas menentang keganasan Israel,” tambahnya.
Anwar pada Selasa menyatakan sokongan Malaysia terhadap cadangan Turkiye dan Arab Saudi untuk mengadakan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan isu Palestin.
Malaysia dan Turkiye menjalin kerjasama erat dalam isu Palestin termasuk berkaitan penyelarasan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Perkara itu diakui Duta Besar Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel yang turut mendedahkan ia perkara yang dibincang oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan dan Anwar semasa lawatan dua hari Perdana Menteri ke Turkiye pada 21 Oktober lalu.
Untuk rekod, Perdana Menteri baru-baru ini menegaskan ketegasan Malaysia memperjuangkan isu penduduk Palestin yang berterusan dizalimi Israel bukanlah kerana ia mahu menjadi jaguh sebaliknya dilakukan atas dasar tanggungjawab membela umat Islam.
Perjuangan itu perlu dilaksanakan kerana penduduk Palestin di Gaza telah ditindas rejim Israel sekian lama sehingga menjangkau lebih tujuh dekad.