Semasa

Ikram sokong Minggu Solidariti Palestin, gesa tak dijadikan polemik politik

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menggesa supaya program Minggu Solidariti Palestin yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak dijadikan polemik politik.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Ikram, Profesor Dr Omar Yaakob dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyokong langkah kementerian melaksanakan program ini yang tujuannya bagi mendidik nilai-nilai manusiawi termasuk hak asasi manusia dan sifat ihsan dalam kalangan pelajar.

Justeru tegas beliau, semua pihak perlu sepakat menghormati dan menyokong keputusan kerajaan untuk membantu rakyat Palestin bagi mendapatkan hak mereka untuk hidup bebas dan merdeka.

“Pelajar perlu didedahkan dengan sejarah pencerobohan dan penjajahan Israel ke atas Palestin sehingga menimbulkan krisis kemanusiaan terbesar dan terpanjang abad ini.

“Palestin adalah satu-satunya negara yang masih terjajah lebih 70 tahun dan pengepungan ke atas lebih dua juta penduduk Gaza adalah sesuatu bertentangan dengan perikemanusiaan serta undang-undang antarabangsa,” katanya.

Program Minggu Solidariti Palestin bermula Ahad hingga Jumaat ini merupakan kesinambungan penerapan nilai-nilai murni yang terkandung dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik kerana ia berteraskan sikap hormat-menghormati, kasih sayang, bertanggungjawab dan mempunyai perasaan perihatin terhadap penderitaan individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial.

Bagaimanapun program itu baru-baru ini dicemari insiden senjata mainan digunakan sebagai peralatan pada satu program tersebut sehingga menimbulkan bantahan di kalangan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang kemudian menggesa agar institusi pendidikan tidak dilibatkan dengan isu konflik antarabangsa, perang dan pertikaian agama.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kemudian menegaskan program tersebut yang tular di media sosial sama sekali tidak mengikut panduan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Sementara itu, Omar melalui kenyataan sama turut mencadangkan agar program Minggu Solidariti Palestin dijadikan sebagai program yang menekankan tentang nilai-nilai kemanusiaan sejagat yang boleh disepakati bersama dengan mengambil kira kepelbagaian kaum dan agama di sekolah.

Pelajar-pelajar jelasnya perlu difahamkan bahawa dasar aparteid dan penghapusan etnik yang dilakukan Israel adalah melanggar undang-undang antarabangsa.

Related Articles

Back to top button