ekonomi

Kerajaan tidak bercadang tambat ringgit – Steven Sim

Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan tambatan ringgit dan langkah seiringnya iaitu kawalan pertukaran mata wang asing yang pernah dilakukan ketika Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata pada masa ini ia dilihat bukan penyelesaian yang tepat, berikutan ekonomi dan sistem kewangan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi turun naik pasaran kewangan global dan pergerakan kadar pertukaran.

Katanya, ia akan memberi impak negatif terhadap keyakinan pelabur yang melibatkan kos tinggi sehingga menjejaskan aliran modal.

“Keduanya, Malaysia akan hilang kebebasan dasar monetari dan perlu mengikut kadar faedah mata wang yang menambat ringgit.

“Contohnya, jika ringgit ditambat dengan dolar Amerika Syarikat (AS) , kita perlu menaikkan kadar faedah selari dengan kadar faedah di AS dan tindakan ini akan memberi tekanan kepada kos pembiayaan yang lebih tinggi kepada rakyat,” katanya ketika menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau bertanya sama ada kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) bercadang untuk menambat nilai ringgit pada satu-satu nilai seperti yang dilakukan pada 1999 memandangkan kadar ringgit pada ketika ini rendah berbanding dolar AS.

Sim berkata selain itu, bagi mengekalkan tambatan, negara akan memerlukan rizab antarabangsa yang besar.

“Jika tidak, kita terpaksa memperkenalkan kembali langkah kawalan modal untuk mencegah dan mengatasi tekanan spekulatif terhadap ringgit.

“Sekiranya langkah kawalan modal ini diperkenalkan sekarang, kesan negatifnya terhadap keyakinan pelabur akan melibatkan kos yang sangat tinggi dan boleh menjejaskan aliran modal kerana Malaysia mempunyai pasaran modal yang jauh lebih besar pada hari ini berbanding 1998,” katanya.

Oleh itu, katanya sebagai bank pusat yang bertanggungjawab terhadap kestabilan pasaran kewangan dan mata wang, BNM akan memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur.

“Bagi menangani risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS, Kerajaan melalui BNM akan terus mengurus risiko
daripada perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur.

Tambah beliau, kenaikan dolar AS juga tidak mempengaruhi akan hutang negara dan ia masih terkawal kerana kebanyakan hutang dalam pasaran domestik.

Related Articles

Back to top button