Mahkamah

PDRM siasat kes hantaran berunsur fitnah terhadap isteri PM secara profesional – Bukit Aman

Polis menegaskan tiada sebarang penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan ketika menyiasat kes hantaran didakwa berunsur fitnah ke atas isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa tiada sebarang penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan berlaku dan siasatan dijalankan secara profesional berlandaskan prosedur ditetapkan undang-undang.

Menurutnya, polis juga menyangkal dakwaan pihak tertentu berhubung isu kegagalan menjawab soalan pegawai penyiasat semasa rakaman percakapan diambil di bawah Seksyen 113 Kanun Tatacara Jenayah.

“Sebaliknya keengganan memberi kerjasama dilihat daripada konteks kegagalan memberi maklumat berhubung capaian kepada data berkomputer sebagaimana peruntukan Seksyen 116B Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Melalui peruntukan ini, seseorang pegawai polis yang menjalankan suatu penggeledahan hendaklah diberi capaian kepada data berkomputer, termasuk diberi kata capaian, kod penyulitan, kod penyahsulitan, perisian atau perkakasan yang perlu dan apa-apa cara lain yang dikehendaki untuk membolehkan pemahaman data berkomputer,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan juga sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan masih di peringkat kajian.

Related Articles

Back to top button