Pengurusan air negara akan terus diperkasa – PM Anwar
Kerajaan Perpaduan akan terus memperkasa pengurusan air negara melalui Dasar Air Negara, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Melalui satu hantaran di laman Facebooknya, beliau berkata, sesi libat urus dengan Kerajaan Negeri akan diadakan sebelum dasar mengenainya dimuktamadkan.
“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Air Negara Ke-5 (MAN 5) sebagai platform penting di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang bertanggungjawab menetapkan dasar, hala tuju dan pendekatan berhubung dengan pengurusan dan pembangunan air negara.
“Saya singgung akan keperluan kita untuk mengimbangi ketersediaan serta keperluan air negara dengan menguruskan sumber air dengan lebih efektif berdasarkan prinsip tatakelola yang terbaik supaya ia boleh digunakan secara optimum bagi memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Perdana Menteri turut memberitahu, kerajaan juga akan mengambil perhatian serius terhadap isu-isu pencemaran air.
Sehubungan itu jelasnya, beliau telah mengarahkan semua Jabatan/ Agensi di peringkat Persekutuan untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama Kerajaan Negeri berdasarkan Laporan Status Kualiti Air Sungai Negara.
“Bagi mengurangkan risiko bencana berkaitan dengan kegagalan empangan yang memberi ancaman kepada rakyat Anwar berkata, Pusat Teknikal Empangan dan Infrastruktur Air (PTE) akan diselaraskan dengan menempatkan pegawai-pegawai yang berpengalaman merentas kepakaran untuk melaksanakan pengawasan dan pemeriksaan daripada aspek keselamatan dan teknikal empangan secara berpusat,” tambahnya.