Nasional

Skim ‘Rent to Own’ diperluas, bolehkan lebih ramai miliki rumah

Kerajaan Perpaduan akan memperluas skim ‘Rent to Own’ bagi membolehkan lebih ramai golongan B40 dan M40 memiliki rumah, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Nga Kor Ming ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Selasa berkata, kementeriannya akan meneruskan kerjasama dengan institusi kewangan dalam menyediakan pakej pembiayaan perumahan yang menarik dan mampan.

“KPKT (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan) melalui Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara (SPNB) menyediakan perumahan seperti program Kediaman SPNB dan Perumahan PR1MA bagi golongan M40 di seluruh Malaysia,” katanya .

Selain skim tersebut, kerajaan juga jelasnya telah menyediakan inisiatif bagi meningkatkan pemilikan rumah dengan melaksanakan inisiatif i-Biaya.

“Inisiatif berkenaan merupakan jaminan pembiayaan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) khususnya pembeli rumah pertama termasuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji seperti golongan ekonomi gig.

“Melalui inisiatif ini, kerajaan memberi jaminan had pembiayaan sehingga RM500,000. Ini termasuk jumlah pembiayaan pokok, Jaminan Tempoh Pengurangan Gadai Janji (MRTA), Takaful Gadai Janji (MRTT), yuran guaman dan yuran penilaian,” tambahnya.

Sementara itu tambahnya, kementerian turut menetapkan hala tuju baharu pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) supaya selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan daya huni penduduk perumahan itu.

Justeru kerajaan jelasnya telah bersetuju untuk menetapkan saiz keluasan yang baharu bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluas 750 kaki persegi dengan menetapkan standard minimum untuk setiap unit PPR tersebut dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“KPKT dengan hala tuju yang baharu juga menetapkan supaya PPR baharu yang dibina akan menjadi lebih bersepadu dengan kemudahan lain termasuk termasuk padang riadah, medan selera dan kedai serbaneka,” tambah Kor Ming.

Related Articles

Back to top button