Belanda beri jaminan kongsi kepakaran tangani banjir dengan Malaysia
Kerajaan Perpaduan terus akan berusaha menangani masalah banjir di negara ini termasuk dengan mendapat kepakaran dari Belanda bagi menambah baik sistem tebatan banjir, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan kepakaran dari Belanda itu diyakini dapat mengurangkan kos perbelanjaan negara yang mencecah bilion ringgit setiap tahun bagi melaksanakan pengurusan bencana banjir.
Tambahnya, dalam pertemuan bersama Mark Rutte di Seri Perdana pada Rabu, beliau telah menerangkan kepada Perdana Menteri Belanda itu mengenai kepentingan menambah baik pelbagai keperluan di sungai-sungai dalam negara, terutama semasa menghadapi musim banjir.
“Saya juga terangkan kepada beliau mengenai belanja, umpamanya mutakhir ini keseluruhan (kos pengurusan) masalah banjir mencecah RM15 bilion.
Rutte beritahu dengan kepakaran dan tekonologi baru, mungkin tidak perlu kos tinggi, beliau turut memberi jaminan akan menyegerakan penghantaran pasukan kepakaran dalam bidang berkenaan.” katanya sebagai mengulas kunjungan hormat oleh rakan sejawatannya itu.
Mengulas lanjut usaha itu, Anwar turut meminta Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk mengambil tindakan lanjut berhubung kerjasama itu termasuk menyegerakan proses ketibaan pasukan pakar berkenaan ke Malaysia.