Semasa

Jemaah Menteri setuju cadangan harga dua peringkat kawal harga minyak masak

Jemaah Menteri secara prinsip bersetuju dengan cadangan pelaksanaan mekanisme ‘two tier pricing’ atau harga dua peringkat untuk mengawal harga minyak masak.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata begitu ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.

Tambahnya, cadangan itu antara lain melibatkan pendekatan baharu penetapan harga minyak sawit mentah (CPO) yang berbeza bagi edaran domestik dan eksport.

“Arahan lanjut daripada Kabinet berkaitan cadangan itu ialah supaya kementerian yang terlibat membuat sesi libat urus langsung dengan pemain industri berkaitan.

“Saya yakin Kementerian Perladangan dan Komoditi akan membuat pengumuman berkaitan pendekatan harga dua peringkat bagi CPO ini tidak lama lagi,” katanya.

Sebagai rekod, Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh pada April lalu berkata, kementerian mengadakan libat urus bersama pemain industri untuk melaksanakan mekanisme harga dua peringkat minyak masak.

Melalui mekanisme itu jelasnya, harga minyak masak yang dijual secara domestik akan berbeza dengan harga minyak masak yang akan dieksport ke negara luar yang sekaligus akan mengawal harga minyak masak di pasaran.

Sementara itu, Armizan berkata kementeriannya menganggarkan sejumlah RM1.9 bilion diperlukan bagi melaksanakan subsidi minyak pada tahun ini.

Beliau berkata peruntukan asal berjumlah RM500 juta telah habis dibelanjakan pada dua bulan pertama tahun ini, manakala dana tambahan RM400 juga sudah digunakan.

Peningkatan peruntukan yang diperlukan bagi tujuan pelaksanaan subsidi minyak itu jelasnya berpunca daripada kenaikan luar jangka dan keterlaluan harga CPO.

“Khamis lepas kita dapat lagi tambahan RM350 juta untuk tampung keperluan subsidi ini dan Kementerian Kewangan sudah beri komitmen bahawa peruntukan tambahan akan disalur bagi teruskan subsidi,” kata Armizan.

Menjawab celahan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk mengelakkan ketirisan subsidi minyak, Armizan berkata pengagihan minyak mengikut zon antara syor yang dipertimbangkan untuk mengatasi isu itu.

“Sekarang kita buat edaran mengikut negeri tapi kita fikir pengagihan mengikut zon seperti Utara, Tengah, Selatan, Sabah dan Sarawak mungkin lebih mudah untuk lakukan pemantauan.
“Bagaimanapun, kita akan lihat laporan audit yang kita jangka terima pada suku pertama tahun depan dan jadikannya rujukan untuk merangka mekanisme baharu yang lebih baik,” katanya.

Related Articles

Back to top button