Semasa

KPKT salur RM20 juta untuk selenggaraan sistem perparitan

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM20 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara bagi melaksana kerja-kerja penyelenggaraan longkang dan sistem perparitan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata langkah itu bagi menggelakkan banjir kilat terutama ketika negara sedang berdepan musim Monsun Timur Laut (MTL)

Ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Sungai Siput baru-baru ini, beliau berkata gesaan supaya semua PBT segera menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan longkang-longkang utama sudah dikeluarkan.

“Kita semua maklum bahawa kita semua berada di ambang ketibaan Monsun Timur Laut. Sejak bulan lepas saya telah menggesa semua 155 PBT untuk segera menyelenggara longkang utama bagi mengelakkan banjir kilat di bandar,” katanya.

Kor Ming sementara itu menambah, arahan turut diberikan agar kerja-kerja oleh kontraktor dipantau bagi memasikan penyelenggaraan dijalankan mengikut jadual berkala berdasarkan apa yang ditetapkan mengikut kontrak masing-masing.

Pada masa sama, Nga berkata beliau yakin pegawai yang terlibat dengan bencana banjir akan sentiasa memantau keadaan di kawasan masing-masing dan meminta semua pegawai turun padang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini menjangkakan empat hingga enam episod hujan lebat melanda negara bermula November hingga Februari 2024, yang berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berisiko.

Related Articles

Back to top button