Semasa

STR Fasa 4 disalurkan kepada 5.5 juta penerima mulai 7 November ini

Pembayaran akhir Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 bagi tahun ini akan disalurkan sebelum perayaan Deepavali secara berperingkat mulai 7 November ini.

Kementerian Kewangan menerusi kenyataan pada Rabu memaklumkan kerajaan memperuntukkan sejumlah RM2.1 bilion kepada 5.5 juta penerima.

“Daripada jumlah itu, seramai 5.22 penerima STR sedia ada bakal menerima bantuan tunai sehingga RM1,200.

Turut menerima bantuan dibawah STR Fasa empat adalah lebih 280,000 penerima baharu yang diluluskan untuk Rayuan STR 2023 bakal menerima sehingga RM2,500.

“Mereka akan menerima sehingga RM2,500 mengikut kategori kelayakan masing-masing. Pembayaran ini merupakan bayaran akhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Kementerian Kewangan turut memaklumkan sebagai penambahbaikan kepada STR 2024, kerajaan akan mengambil pendekatan berbeza bagi memastikan tiada golongan yang tercicir.

Melalui penambahbaikan itu individu yang layak boleh membuat permohonan baharu dan mengemas kini maklumat mereka untuk STR 2024 sepanjang tahun berbanding proses permohonan STR 2023 yang hanya dibuat setahun sekali.

“Ini bagi memastikan mereka yang layak namun tiada dalam pangkalan data kerajaan boleh tampil mengemukakan permohonan masing-masing selain membenarkan penerima sedia ada membuat pengemaskinian sekiranya mempunyai perubahan maklumat,” katanya.

Selain itu, bagi mengurangkan golongan yang tercicir atau exclusion error, data penerima STR sedia ada akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan dan data berkenaan akan disemak silang dengan data daripada beberapa agensi kerajaan bagi memastikan kelayakan STR 2024 mengikut syarat ditetapkan.

Sementara itu Kementerian Kewangan turut menyarankan pemohon STR merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut manakala semakan status pembayaran dan kelulusan rayuan STR boleh dibuat melalui pautan yang sama.

Sebagai rekod, kerajaan membelanjakan hampir RM8 bilion untuk STR 2023 kepada 8.7 juta penerima yang memanfaatkan hampir 60 peratus penduduk dewasa Malaysia bagi membantu menangani cabaran kos sara hidup.

Related Articles

Back to top button