Parlimen

WHO CA+, IHR 2005: Kedaulatan dan autonomi negara tidak boleh dicabuli – Dr Zaliha

Kedaulatan dan autonomi negara tidak boleh dicabuli oleh mana-mana pihak, tegas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, ia berhubung rundingan Triti Pandemik Perjanjian Konvensyen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO CA+) dan pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005).

Jelasnya, Malaysia belum memuktamadkan sebarang keputusan meraktifikasi atau menolak instrumen baharu WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 sebelum 1 Disember depan.

Malah katanya, rundingan penyediaan dokumen Intergovermental Negotiating Body (INB) WHO CA+ masih di peringkat awal dan tiada keputusan akan diberikan sehingga segalanya dipersetujui.

“Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan sama sekali berkompromi dengan mana-mana keputusan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, negara ini juga mempertahankan prinsip keadilan dan solidariti dalam pentadbiran kesihatan global.

“Malaysia berpandangan adalah penting untuk negara-negara maju membantu negara-negara membangun dengan sumber-sumber yang mereka ada dan pengagihan sumber mestilah adil dan saksama,” tambahnya.

Selain itu katanya, Malaysia dipacu oleh matlamat untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih kuat dan lestari.

“Malaysia mengiktiraf keperluan untuk membangunkan kapasiti, kerjasama yang kukuh dan koordinasi dalam kalangan industri untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang wabak pada masa akan datang.

“Pendekatan ini bertujuan untuk memastikan sumber-sumber kesihatan adalah adil dan boleh diakses di peringkat global, menyumbang kepada sistem penjagaan kesihatan yang lebih kukuh,” katanya.

Related Articles

Back to top button