Semasa

Bekas Ahli Parlimen Sikijang meninggal dunia

Bekas Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail meninggal dunia akibat kanser di Hospital Segamat pada Khamis.

Allahyarhamah yang juga Ahli Majlis Pimpinan Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berusia 73 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 malam.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam catatan X mengesahkan berita pemergian Natrah.

Fahmi yang juga Ketua Penerangan parti KEADILAN sementara itu menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang pemimpin yang baik dan tertib.

Allahyarhamah juga dianggap sebagai pemimpin yang gigih perjuangkan nasib rakyat melalui perjuangannya.

Sebagai rekod, ketika krisis politik negara yang tercetus melalui ‘Langkah Sheraton’ Natrah tampil mendakwa ditawarkan untuk melompat parti bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.

Namun atas prinsip perjuangan dan kesetiannya, beliau menolak tawaran tersebut.

Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu kehilangan besar khususnya bagi parti berkenaan.

Ketuanya, Mohamad Taufiq Ismail melalui satu hantaran di Facebook malam tadi menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarhamah Natrah Ismail atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Kak Natrah’.

“Satu pemergian dan kehilangan besar khususnya bagi keluarga besar Keadilan.

“Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah,” tulisnya.

Related Articles

Back to top button