Semasa

Belanjawan 2024 diluluskan di peringkat dasar

Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024), selepas rang undang-undang itu selesai dibahaskan di peringkat dasar.

Rang undang-undang itu diluluskan apabila lebih suara bersetuju selepas undian suara dijalankan sejurus penggulungan perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat dasar oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di pada jam 6.50 petang.

Seramai 85 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat dasar, bermula 16 Oktober lalu.

Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ yang dibentang Anwar di Parlimen pada 13 Oktober lepas, melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dalam sejarah Malaysia.

Ia adalah belanjawan kedua di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Daripada jumlah peruntukan tersebut RM303.8 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan, manakala RM2 bilion pula disediakan untuk simpanan luar jangka.

Rang undang-undang itu dibahaskan selama lapan hari mulai 16 Oktober oleh 162 ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang dan digulung oleh semua 25 kementerian dan tiga Jabatan Perdana Menteri selama empat hari bermula Isnin lepas.

Menurut takwim Parlimen, perbahasan rang undang-undang berkenaan bagi peringkat jawatankuasa dijadualkan selama 12 hari bermula 6 November ini.

Related Articles

Back to top button