Parlimen

KBS rangka KPI kontijen sukan negara hadapi Sukan SEA Thailand 2025 – Menteri

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang merangka petunjuk prestasi utama (KPI) bagi penyertaan kontijen sukan negara di Sukan SEA Thailand 2025 yang dijangka dimuktamadkan hujung tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, draf KPI berkenaan dirangka Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Persatuan Sukan Kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia dan Institut Sukan Negara.

Beliau berkata, tindakan itu adalah lanjutan daripada ‘post mortem’ prestasi kontijen negara di Sukan SEA Kemboja 2023 yang diadakan MSN, membabitkan pihak berkepentingan, pada 6 dan 7 Julai lalu.

“Secara dasarnya ‘post mortem’ ini memberikan pelbagai input positif kepada KBS untuk melaksanakan penambahbaikan terhadap program persediaan atlet negara ke pelbagai temasya antarabangsa.

“Aspek pemantauan terhadap KPI berkenaan akan dilaksanakan secara berkala dalam tempoh empat bulan sekali,” katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai perancangan dan tindakan KBS bagi memastikan kejayaan negara dalam sukan SEA akan datang.

Sementara itu, Hannah berkata, pelan perancangan bersifat jangka pendek dan panjang akan dibincangkan secara terperinci menerusi Bengkel Perancangan Program Latihan Atlet, Khamis depan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan negara dapat memberikan saingan lebih hebat di Sukan SEA Thailand 2025 dan temasya sukan lain, termasuk Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

“KBS melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan juga bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang bertindak sebagai penyelaras, pada 30 Mei lalu.

“Ia membabitkan perancangan sukan di peringkat KBS, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), selain bagi memastikan aspek pembangunan atlet terus diperkasa,” katanya.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button