KKM akan pastikan keselamatan data CCMS – Menteri Kesihatan
Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan sekuriti data Sistem Pengurusan Data Klinikal (CCMS) yang masih dalam projek rintis diberi perhatian serius supaya tidak berlaku kebocoran data.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata kerajaan akan memastikan data klinikal pesakit dilindungi sebaik mungkin apabila sistem tersebut diguna pakai kelak.
“Insya-Allah, perkara-perkara ini memang (kita) jaga dengan sebaik mungkin,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 Peringkat Dasar Kementerian Kesihatan (KKM) pada Khamis.
Beliau berkata begitu sebagai menjawab celahan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasik Gelugor) yang membangkitkan laporan Harian Metro bertarikh 25 Oktober 2023 yang meragui sistem tersebut yang dibangunkan oleh syarikat yang berpangkalan di United Kingdom (UK).
Wan Saiful pada pencelahannya turut mahu penjelasan apakah akan berlaku kenaikan kos apabila sistem sedia ada bertukar kepada CCMS dari segi sewaan bulanan
“Tentang kenaikan kos adalah tidak benar kerana sebenarnya penggunaan CCMS yang diperkenalkan ini kosnya sangat memberi keuntungan kepada kerajaan atau KKM,” kata Dr Zaliha sebagai menjawab kebimbangan itu.