Komuniti media MADANI pastikan maklumat benar terkait kerajaan disebar kepada rakyat – Fahmi
Satu Komuniti Media MADANI akan dibentuk yang merangkumi jentera parti-parti penyokong kerajaan, bagi memastikan maklumat yang sahih dan tepat berkenaan dasar-dasar kerajaan dapat disebarkan kepada rakyat.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata inisiatif itu digerakkan memandangkan sejak kebelakangan ini terdapat pihak tertentu yang mahu menenggelamkan usaha-usaha dan ikhtiar kerajaan secara tersusun terutamanya menerusi pelbagai saluran media sosial.
“Antara tujuan dan matlamat kita bentuk Komuniti Media MADANI ini adalah untuk memastikan kita dapat menjalin hubungan yang erat sesama kita.
“Dengan hubungan yang erat itu, lebih banyak maklumat dapat kita sampaikan di samping kita boleh dengan mudah ‘cross check’ beberapa perkara dan lebih pantas kita respon kepada perkara ini,” katanya ketika berucap di Forum Belanjawan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Strategik Kerajaan Perpaduan berkata, serangan di media sosial terhadap kerajaan datang dari pelbagai saluran dan berlaku pada bila-bila masa.
Justeru katanya, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah melakukan beberapa perkara bagi menangani perkara itu termasuk memanggil pengendali platform media sosial yang selama ini enggan memberi kerjasama dengan kerajaan.
“Tujuannya bukan untuk menekan atau menzalimi sesiapa, tetapi kita ingin pastikan kebebasan media itu wujud, kebebasan suara itu ada dan dapat dinikmati, tapi bukan kebebasan menyebar fitnah, buruk sangka yang tidak berasas,” katanya. – Bernama