Negeri

Nasib 463 nelayan terjejas projek KLIP terbela

Nasib 463 nelayan yang terjejas dengan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) akhirnya terbela apabila Kerajaan Negeri Melaka membuat pembayaran pertama ex-gratia kepada mereka.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pembayaran fasa pertama daripada tiga kali siri pembayaran itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada para nelayan setelah sekian lama menunggu untuk mendapatkan sagu hati tersebut.

Berbanding keputusan sebelum ini untuk pembayaran dibuat dua tahun sekali, kerajaan negeri juga jelasnya bersetuju agar siri pembayaran itu dibuat setiap tahun.

“Jumlah bayaran ex-gratia adalah RM5.4 juta. Daripada jumlah ini, sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk perbelanjaan infrastruktur di kawasan nelayan Melaka Barat pada tahun ini manakala RM1 juta bagi pembangunan ekonomi di kawasan nelayan Melaka Barat.

“Baki pampasan sebanyak RM4.3 juta akan dibayar kepada nelayan-nelayan yang terkesan di Alor Gajah dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Justeru, saya berharap tiada lagi isu berbangkit selepas ini kerana KLIP akan memulakan pembangunan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar Program Bayaran Sagu Hati Ex-Gratia di Alor Gajah semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan KLIP, Datuk Seri Noor Mustafa Kamal Yahya.

Mengulas mengenai pembayaran fasa pertama itu, Ab Rauf menjelaskan seramai 348 penerima adalah nelayan dalam daerah Alor Gajah manakala nelayan dari Port Dickson seramai 115 orang.

Beliau sementara itu menasihati penerima agar menggunakan wang ini dengan sebaik mungkin untuk perkara yang berfaedah.

Related Articles

Back to top button