Semasa

Pembelian 104 ventilator gagal berfungsi dibuat era Muhyiddin Yassin jadi perdana menteri

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesahkan pembelian 104 unit ventilator yang gagal berfungsi dibuat sewaktu pentadbiran Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada sidang media di Dewan Rakyat pada Khamis mengesahkan ia berlaku ketika Datuk Seri Dr Adham Baba berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan.

“Memang semua sudah sedia maklum, ini sewaktu menteri Dr Adham Baba.

“Yang Berhormat KJ (Khairy Jamaluddin) pun sudah bagi kenyataan bukan dibuat ketika beliau menjawat jawatan berkenaan,” katanya.

Isnin lalu, hasil prosiding PAC setebal 120 muka surat yang dimuatnaik menerusi laman web Parlimen mendedahkan, sebanyak 104 unit ventilator tidak dapat digunakan.

Tidak sekadar itu, PAC mendedahkan ketiadaan perjanjian bertulis dimeterai antara KKM dan syarikat pembekal, Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. (PLSB) dalam urusniaga itu.

Ketiadaan perjanjian bertulis itu telah menyebabkan tiada pihak boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.

Laporan ‘Pengurusan Wabak COVID-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE)’, yang dibentangkan itu turut menyatakan PLSB diarah membuat pembayaran pendahuluan bagi mendapatkan ventilator.

Arahan itu dibuat walaupun syarikat berkenaan tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam perolehan peralatan perubatan seperti ventilator.

Selain kelemahan itu, laporan turut memaklumkan sebanyak 8.5 juta dos vaksin bernilai RM505 juta luput tempoh hayat setakat 15 Jun lalu.

Related Articles

Back to top button