Negeri

Peruntukan tinggi kepada Malaysia Timur untuk atasi masalah kesenjangan – PM Anwar

Peruntukan tinggi untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2024 adalah kerana wujud kesenjangan atau ketidakseimbangan pembangunan antara kedua-dua negeri itu dan Semenanjung.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada Khamis berkata, kesejangan itu melibatkan perkara asas seperti kemudahan bekalan air, elektrik, jalan berlubang termasuk kemudahan yang amat daif di kawasan sekolah luar bandar selain pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

“Biar kita adil, peruntukan untuk Sabah dan Sarawak itu memang tinggi, paling tinggi dalam sejarah, tapi apakah boleh selesai semua masalah? Tidak boleh, akan ambil waktu, kena adil, ada masalah air di Sabah, kita selesaikan, kita selesaikan juga di Kelantan, kalau kita kata Sabah ada masalah besar, kita tinggalkan Kelantan, tak boleh.

“Jadi dalam keupayaan kewangan ini kita harus cuba imbangi keperluan, cuma yang saya setuju ialah bahawa tumpuan kepada permasalahan kritikal di Sabah dan Sarawak tidak boleh ditangguhkan,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Tambah Anwar lagi pada hakikatnyabukan hanya Sabah dan Sarawak, namun peruntukan untuk semua negeri dalam Belanjawan 2024 termasuk di Kelantan ditambah dalam jumlah yang besar berbanding beberapa tahun lepas.

“Tak kira beberapa peruntukan tambahan lain yang kita tambah selepas ini, termasuk bekalan air untuk Sabah dan Kelantan, saya kena sebut Sabah terima RM6.6 bilion, berapa Perak? RM1.7 bilion, Sarawak RM5.8 bilion.

“Pahang? RM3.2 bilion, Kelantan? Sekarang RM2.8 bilion, Kedah naik RM1.8 bilion, semua negeri tanpa terkecuali, tapi untuk Sabah, Sarawak kita terikat dengan beberapa pemberian Persekutuan dalam MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) sebab itu untuk 2024 pemberian Persekutuan untuk Sabah RM1.53 bilion dan Sarawak RM1.63 bilion,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) semasa mencelah penggulungan beliau mengenai pertambahan pemberian Interim kepada Sabah sebagai dana tambahan pembangunan negeri.

Menurut Anwar, ia wajar ditambah dan sedang dalam rundingan.

“Sarawak sejak 1969 peruntukan RM16 juta tak pernah naik, hanya tahun ini dinaikkan RM300 juta, Sabah pernah naik pada 2020 kepada RM125.6 juta dan sekarang pun RM300 juta.

“Cuma pembayaran khas interim ini kali pertama Kerajaan Perpaduan lakukan, tak dibuat sebelumnya, kena akui, saya akui (wajar ditambah) tapi jangan lupa Pan Borneo itu kita lulus RM16 bilion belanja, penjanaan solar hibrid Sabah Timur selain jaringan talian penghantar elektrik di Selatan Sabah Southern Link,”jelasnya yang turut mengakui masalah tertunggak sejak puluhan tahun tidak mungkin dapat diselesaikan tahun ini.

Related Articles

Back to top button