Semasa

Yayasan Didik Negara hantar bantuan untuk anak-anak di Palestin

Yayasan Didik Negara di bawah selian Kementerian Pendidikan (KPM) menyumbang pelbagai barangan bantuan kemanusiaan bernilai RM50,000 kepada rakyat Palestin.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika menyerahkan sumbangan berupa susu bayi dan mainan kanak-kanak itu berkata, beliau berharap sumbangan itu mampu memberi kegembiraan kepada anak-anak di Gaza.

“Saya tidak dapat tahan sebak apabila tengok barangan mainan sebab terkenang nasib anak-anak kecil di bumi Palestin. Mudah-mudahan barangan ini sampai kepada anak-anak di sana, yang sekurang-kurangnya memberi kegembiraan kepada mereka,” katanya kepada media.

Beliau sebelumnya hadir ke pusat pengumpulan barangan bantuan kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di Sepang malam tadi, dan semua bantuan itu akan disalurkan kepada penduduk Palestin menerusi Ops Ihsan.

Turut hadir adalah Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali dan Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Sementara itu, Jawatankuasa Operasi Ops Ihsan Syahrir Azfar Salleh malam tadi berkata penghantaran pertama barangan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin kini siap sepenuhnya.

Penghantaran pertama itu membabitkan keperluan perubatan dan barangan lain sebanyak 20 tan bersedia untuk dihantar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa El Arish, Mesir

Manakala penghantaran kedua sebanyak 30 tan dijadual pada 10 November ini.

Media sebelum ini melaporkan 50 tan barangan bantuan kemanusiaan bernilai RM7 juta berjaya dikumpul menerusi Ops Ihsan, yang diselia oleh 49 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Related Articles

Back to top button