Semasa

Bantuan dihantar ke Gaza, Kerajaan lulus pembiayaan untuk pelajar Palestin di Malaysia

Mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi Jumaat meluluskan sejumlah peruntukan untuk membiayai pembelajaran pelajar-pelajar Palestin yang berada di negara ini.

Perkara itu didedahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media malam tadi.

Menurutnya, peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada RM100 juta yang disalurkan dalam bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat jemaah menteri tadi telah menyatakan persetujuan untuk menggunakan sebahagian daripada RM100 juta kutipan yang telah dibuat oleh kerajaan Malaysia dan Kementerian Luar untuk digunakan kepada pelajar Palestin yang berada di Malaysia bagi membiayai sebahagian daripada kos sara hidup mereka.

“Kos pengajian dan beberapa kos lain yang terlibat. Ini kerana pembiayaan terutamanya dariapda ibubapa mereka tidak dapat sampai sebabkan keluarga mereka telah tiada lagi disebabkan pengeboman atau disebabkan punca kewangan yang telah terputus atau disebabkan oleh sistem untuk penghantaran telah juga terputus,” katanya.

Ahmad Zahid malam tadi melepaskan penerbangan pertama bantuan misi kemanusian Malaysia ke Gaza dengan disaksikan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Bantuan kemanusian seberat 20 tan bernilai hampir RM7 juta khusus untuk rakyat Palestin yang terkesan dengan situasi perang itu dihantar dengan pesawat Boeing B737.

Menurut Ahmad Zahid, sumbangan itu akan diterbangkan terus ke Al-Arish, Mesir sebelum dibawa dengan sejumlah trak ke wilayah Gaza.

Alhamdulilah. Penghantaran pertama pada malam ini adalah sumbangan daripada kutipan yang dibuat dari orang ramai dan keperluan yang telah disenaraikan kepada kami bagi pihak kerajaan dan NGO akan dihantar melalui penerbangan yang selanjutnya dan juga kapal,” katanya sambil memaklumkan penghantaran kedua dijangka dilakukan minggu depan.

Sementara itu, Walid yang ditemui pada majlis itu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza.

“Terima kasih Malaysia, syukran!, katanya.

Related Articles

Back to top button