Semasa

Benteras penyeludupan beras, Op bersepadu dilanjutkan hingga 17 November

Kerajaan akan terus memperketat kawalan bagi memastikan tiada penyeludupan Beras Putih Tempatan (BPT) ke negara jiran berlaku.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin pada Jumaat berkata, pihaknya akan melanjutkan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Beras Putih Tempatan (OP BPT) sehingga 17 Noember ini terutama di Sabah dan Sarawak.

Chan berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Mingguan Pasukan Petugas OP BPT Bilangan ke-5 yang diadakan semalam di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

“Melalui pelanjutan tempoh ini, penguatkuasaan secara bersepadu akan terus dijalankan di pintu masuk sempadan Sabah dan Sarawak serta diperketatkan lagi melalui pasukan petugas ini bagi mengelakkan ketirisan subsidi dan pembaziran wang negara,” katanya dalam kenyataan.

Melalui kenyataan sama Chan turut memaklumkan sebanyak 196 pemeriksaan premis melibatkan 71 kilang, 113 pemborong dan 12 peruncit di Semenanjung Malaysia telah dijalankan sehingga 1 Nov lalu.

Susulan itu tiga kes sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan sembilan kes di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Kementerian juga ingin mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampurkan BPT dengan BPI, menyeludup keluar BPI atau menyembunyikan bekalan BPT,” katanya.

Beliau sementara itu menggesa orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berkenaan isu bekalan beras, boleh menyalurkannya melalui talian penting aduan 03-8870 2393/2207.

Related Articles

Back to top button