KBS rangka KPI sebagai persiapan hadapi Sukan SEA 2025
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang merangka petunjuk prestasi utama (KPI) bagi penyertaan kontijen sukan negara di Sukan SEA Thailand 2025.
Menterinya, Hannah Yeoh, berkata draf KPI berkenaan dirangka Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Persatuan Sukan Kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia dan Institut Sukan Negara dan dijangka dimuktamadkan hujung tahun ini.
Tindakan itu adalah lanjutan daripada ‘post moterm’ prestasi kontijen negara di Sukan SEA Kemboja 2023 yang diadakan MSN, membabitkan pihak berkepentingan, pada 6 dan 7 Julai lalu.
“Secara dasarnya ‘post mortem’ ini memberikan pelbagai input positif kepada KBS untuk melaksanakan penambahbaikan terhadap program persediaan atlet negara ke pelbagai temasya antarabangsa.
“Aspek pemantauan terhadap KPI berkenaan akan dilaksanakan secara berkala dalam tempoh empat bulan sekali,” katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan laman sesawang Parlimen.
Sementara itu, Hannah berkata, pelan perancangan bersifat jangka pendek dan panjang akan dibincangkan secara terperinci menerusi Bengkel Perancangan Program Latihan Atlet, Khamis depan.
Ia bagi memastikan negara dapat memberikan saingan lebih hebat di Sukan SEA Thailand 2025 dan temasya sukan lain, termasuk Sukan Asia dan Sukan Olimpik.