Pilihanraya

Persempadanan semula bahagian pilihan raya Sarawak dijangka tak lama lagi

Persempadanan semula bahagian pilihan raya Sarawak dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi Azalina Othman Said di Dewan Rakyat berkata, proses itu akan bermula selepas selang tempoh lapan tahun dari kajian persempadanan sebelum ini pada 2015.

“Urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun atau terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

“Bagi maksud tersebut, lat tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan negeri Sarawak akan berakhir pada tahun 2023, negeri Sabah pada tahun 2025 manakala Negeri-Negeri Tanah Melayu pula pada tahun 2026,” katanya.

Di bawah Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, selang tempoh antara tarikh satu semakan selesai dan tarikh permulaan semakan seterusnya, hendaklah tidak kurang dari lapan tahun.

NGO pemantau pilihan raya Tindak Malaysia sebelum ini mendakwa Sarawak mengalami pembahagian sempadan yang tidak sekata.

Kawasan pilihan raya terbesar di Sarawak ialah Senadin tegas mereka mempunyai 68,564 pengundi manakala yang terkecil, Gedong, hanya mempunyai 10,067 pengundi.

Pengarah Tindak Malaysia Danesh Prakash Chacko berkata, situasi itu mewujudkan jurang bandar-pedesaan yang sangat besar dan merupakan pengabaian sepenuhnya terhadap prinsip ‘Satu Orang, Satu Undi, Satu Nilai’

Pada masa ini, Sarawak mempunyai 82 DUN.

Related Articles

Back to top button