Teknologi

Dua murid Orang Asli wakili negara ke Make X 2023 International Robotics Competition

Dua murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang, di Pekan, Pahang terpilih mewakili negara ke Make X 2023 International Robotics Competition di Yantai Shandong, China Disember nanti.

Kejayaan Aizal Rashid dan Nazril Nazaran masing-masing berusia 12 tahun itu dicapai selepas mereka menduduki tempat kedua kategori Make X Starter pada Malaysia Make X 2023 Robotics Competition di Universiti UCSI, Kuala Lumpur bulan lalu.

Mentor robotik SK Permatang Keledang, Wan Rahmat Wan Ismail berkata ini kali pertama murid Orang Asli terpilih mewakili negara ke pertandingan robotik di peringkat antarabangsa yang menghimpunkan pasukan daripada 63 negara.

Menurutnya, walaupun berhadapan dengan pasukan daripada negara maju dalam bidang robotik seperti tuan rumah China, Jepun dan Korea namun usaha mencatat keputusan terbaik tetap akan dilakukan.

Katanya, pengalaman dua tahun dalam bidang robotik dengan menyertai pelbagai pertandingan peringkat daerah dan negeri diharap memberi kelebihan kepada Aizal dan Nazril untuk mencetuskan keputusan yang membanggakan untuk negara.

“Kejayaan dua murid Orang Asli ini membuktikan mereka boleh berdiri sama tinggi dengan rakan mereka yang lain.

“Sokongan berterusan diberikan oleh guru dan pihak sekolah menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk berjaya.

“Kita menjalani latihan setiap minggu sebagai persiapan menghadapi pertandingan berkenaan yang pastinya begitu sengit dan mencabar,” katanya memtik laporan Harian Metro.

Beliau yang dibantu seorang lagi mentor, Mohd Zulkhairi Umar menambah, dua murid tahun enam SK Sultan Ahmad, Pekan, Wan Mohamad Firdaus Wan Rahmat dan Arman Malique Mohd Khairi Azim bergabung dalam satu pasukan membawa cabaran negara.

Wan Rahmat berkata, untuk menyertai pertandingan robotik di China bulan depan, pihaknya perlu menyediakan perbelanjaan lebih RM4,000 setiap murid bagi tiket penerbangan, hotel dan makan serta pakaian musim sejuk.

“Saya bagi pihak murid mengharapkan sumbangan daripada individu dan syarikat korporat serta agensi kerajaan untuk menyumbang bagi menjayakan misi melakar kejayaan untuk pasukan negeri dan negara,” katanya yang bersama dua lagi guru akan turut mengiringi pasukan ke China.

Beliau berkata, pihak sekolah diketuai guru besar, Rusmina Hassan kini berusaha mendapatkan sumbangan bagi mencapai cita-cita membawa pasukan robotik SK Permatang Keledang kali pertama bertanding di luar negara.

Bagi Nazril, dia akan berusaha memberi yang terbaik bersama tiga rakan sepasukan dalam memastikan kejayaan dapat dicapai untuk sekolah, negeri dan negara.

“Saya dan Aizal akan berusaha meraih kejayaan di China nanti walaupun berhadapan saingan sengit.

“Impian untuk bertanding di China tidak akan menjadi kenyataan sekiranya kami tidak mendapat sokongan kewangan daripada mana-mana pihak, saya berharap ada pihak yang sudi memberi sumbangan kewangan pada pasukan kami,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Related Articles

Back to top button