Fumio Kishida tiba ke Malaysia, dijadualkan bertemu PM Anwar
Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida tiba ke Malaysia bagi lawatan rasmi sulung dua harinya ke negara ini.
Pesawat khas yang membawa Kishida dan delegasi tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7.35 malam semalam dan disambut Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko.
Kishida dijadual mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dan kedua-dua pemimpin dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala Jepun-Malaysia disusuli jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Anwar.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama dalam Bidang Informasi dan Komunikasi antara Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun.
“Memandangkan Jepun sentiasa memainkan peranan pentingnya sebagai rakan dialog ASEAN, lawatan ini mempunyai kepentingan istimewa kerana ia bertepatan dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun tahun ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan sempena lawatan Kishida.
BACA LAGI: Malaysia seru ASEAN manfaat kepakaran teknologi tenaga Jepun, Korea Selatan
Jepun adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia sejak 2015.
Setakat Jun 2023, sebanyak 2,778 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia dengan nilai pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (US$27.43 bilion).
Wisma Putra sementara itu turut menyifatkan lawatan ini mempunyai kepentingan istimewa kerana ia bertepatan dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun tahun ini.