Semasa

Kawal selia TikTok Shop: KKD bincang dengan agensi berkaitan

Perbincangan antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan agensi dan kementerian berkaitan berhubung aspek kawal selia di TikTok Shop bakal diadakan.

Menteri KKD, Fahmi Fadzil berkata, pihak kementerian telah mendapat maklumat asas mengenai demografi dan barangan yang dijual menerusi platform itu, selepas Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching mengadakan pertemuan dengan pihak TikTok pada Khamis lepas.

“Saya ada minta beberapa perbincangan susulan sebab maklumat perlu lebih terperinci dan selepas ini kita akan adakan perbincangan dengan kementerian dan agensi lain kerana dari segi bidang kuasa KKD dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) lebih kepada kawal selia penggunaan rangkaian.

“… tetapi ada beberapa perkara lain di bawah bidang kuasa seperti contoh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kita akan adakan perbincangan sebelum kita rumuskan tindakan kerajaan,” katanya pada satu program bersama masyarakat India di Lembah Pantai pada Sabtu.

Fahmi pada 7 Oktober lalu sebagai mengulas langkah kerajaan Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang di platformTikTok berkata, kerajaan perlu meneliti dahulu perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Beliau mengakui ada menerima aduan orang awam yang melahirkan kerisauan jika langkah yang sama diikuti oleh kerajaan, namun pada masa yang sama beberapa gedung besar turut membangkitkan isu berkaitan persaingan harga produk yang dijual menerusi platform tersebut.

Related Articles

Back to top button