Semasa

Kerajaan akan terus galak pendigitalan sektor runcit dalam negara

Kerajaan Perpaduan terus mengandakan usaha bagi menggalakkan digitalisasi dalam kalangan peniaga dan pengguna di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh dalam satu kenyataan berkata, bagi tempoh Januari hingga 30 Sept tahun ini sejumlah 4,898 peniaga telah didaftarkan di bawah kaedah pembayaran elektronik (e-dompet) menerusi Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI).

“Program ini juga adalah selari dengan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang bertujuan mewujudkan masyarakat digital yang inklusif serta berdaya saing.

“Sejak program ini bermula pada 2021, ia telah berjaya mendaftarkan sejumlah 13,377 peniaga di seluruh negara,“ menurutnya.

Terdahulu, beliau melepaskan para peserta Program ReDI 6 Hours Challenge Rakyat Digital di sebuah hotel di Langkawi yang menyaksikan mereka dikehendaki melaksanakan aktiviti advokasi dan promosi mengenai kaedah pembayaran elektronik kepada peniaga dalam tempoh enam jam.

Melalui kenyataan sama, Fuziah turut menyifatkan peningkatan jumlah penyertaan itu sebagai gambaran positif bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia menerima perubahan daripada kaedah pembayaran tradisional kepada elektronik yang terbukti lebih efisien dan sistematik.

BACA LAGI:KPDN umum berita gembira untuk pengusaha Menu Rahmah

Justeru jelasnya jenama ReDI akan terus dikembangkan dengan lebih meluas pada 2024 melalui pelaksanaan lebih banyak inisiatif baharu seperti ReDI Plus dan ReDI Referral yang akan memberi manfaat kepada lebih ramai kumpulan sasar.

“Kementerian berharap sinergi strategik Program ReDI dengan pemain industri peruncitan akan terus diperkukuh dalam inisiatif lain seperti Pasar RAHMAH dan Gaya Hidup RAHMAH yang akan diperkenal pada 2024,“ tambah Fuziah.

Related Articles

Back to top button