Mahkamah

Polis tahan lelaki, dipercayai buat hantaran ugutan terhadap Fadhlina Sidek

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan seorang lelaki tempatan yang didakwa membuat hantaran berbaur ugutan terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai pemilik atau pengendali akaun laman media sosial ‘X’, @syahmisufi8 itu ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada Jumaat.

“Permohonan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dibenarkan selama tiga hari.

“Setakat ini terdapat empat laporan polis diterima berhubung perkara yang sama,” katanya dalam kenyataan.

BACA LAGI: Ugutan diterima PM buktikan bantahan Malaysia terhadap konflik Palestin-Israel efektif

Jelas Shuhaily, kes itu disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

Siasatan turut dijalankan dibawah Seksyen 22 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan lain-lain.

“Kes masih di peringkat siasatan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“PDRM turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan keselamatan dan kegentaran awam ketika menggunakan media sosial,” tambah Shuhaily.

Related Articles

Back to top button