Bekas vokalis Dewa-19, Once sah bertanding pilihan raya Indonesia
Bekas penyanyi kumpulan popular dari Indonesia Dewa-19, Once Mekel mengesahkan beliau akan bertanding dalam pilihan raya Indonesia yang akan diadakan Februari 2024.
Once, 53 mengumumkan perkara itu ketika program deklarasi dan konsolidasi relawan calon Presiden dan Naib Presiden Indonesia, Ganjar Pranowo dan Mahfud MD (Ganjar-Mahfud) di Kuala Lumpur, semalam.
Program anjuran penyokong pasangan calon Presiden dan Naib Presiden daripada Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P) itu dihadiri lebih 1,500 warga Indonesia yang menetap dan bekerja di Malaysia.
Once atau nama asalnya Elfonda Mekel berkata, beliau akan menawarkan diri untuk mewakili kawasan Daerah Khas Ibukota (DKI) Jakarta II meliputi Jakarta Selatan serta Jakarta Pusat dan nasibnya akan ditentukan oleh kira-kira 4.3 juta pengundi.
Menurut Once, antara pengundinya pada Pemilihan Umum Indonesia tahun depan termasuk lebih sejuta pekerja migran Indonesia di seluruh Malaysia.
“Saya mengerti bahawa ada beberapa masalah timbul daripada pekerja migran.
“Namun yang paling penting adalah kita harus mengurus penghantaran pekerja-pekerja migran Indonesia, sesuai aturan yang ada.
“Jangan sampai mereka keluar menggunakan jalur-jalur ‘liar’, tidak selamat atau tidak diawasi,” katanya.
Antara isu yang akan diperjuangkan oleh penyanyi lagu Dealova itu adalah isu berkaitan hak artis dan selebriti mengenai hak cipta, isu undang-undang dan syarat berkaitan pembantu rumah.
“Saya mahu semua rakyat Indonesia faham kepentingan mempunyai pelbagai bakat dan keupayaan menjalankan pelbagai pekerjaan.
“Saya harap masih boleh terus berkarya (bernyanyi) dan mahu membuka mata dan minda warga Indonesia bahawa kita tidak seharusnya melakukan hanya satu, kita mesti cuba melakukan pelbagai pekerjaan.
“Saya bertuah dilahirkan, bersekolah dan mendapat pendidikan formal di Indonesia. Sokongan rakyat terhadap saya sebagai penyanyi amat padu justeru sudah tiba masa saya mengabdikan diri berkhidmat untuk mereka,” katanya ,” katanya yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Indonesia.
Pusingan pertama Pemilihan Presiden Indonesia 2024 akan berlangsung pada 14 Februari tahun depan, selain pemilihan anggota legislatif di 84 daerah pemilihan.