Semasa

Berhenti cari keburukan, sebar fitnah dan jatuh menjatuhkan: Sultan Perak

Perasaan kemanusiaan dan keinsanan harus digabungkan dan dijelmakan melalui kata-kata dan perbuatan mulia, titah Sultan Perak.

Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Ahad mahu perbuatan mencari keburukan, mengaibkan, menyebar fitnah dan konspirasi menjatuhkan antara satu dengan lain dihentikan agar negara lebih tenteram dan rakyat hidup lebih sejahtera.

“Allah mencipta manusia memiliki hati. Hentikan perlumbaan mencari keburukan, hentikan perbuatan aib mengaibkan, hentikan kerja-kerja menyebar fitnah, hentikan usaha meruntuh dan memusnahkan, hentikan konspirasi jatuh menjatuhi agar dunia lebih aman, negara lebih tenteram dan rakyat hidup lebih sejahtera,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 baginda di Istana Iskandariah. Berangkat sama ke istiadat itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

BACA LAGI: Majlis Raja-Raja titah kerajaan terus pro-aktif bela Palestin di pentas antarabangsa

Sementara itu, Baginda Sultan Nazrin turut menitahkan menteri besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan menjunjung setia kepercayaan baginda dan tidak mengecewakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

Tambah Baginda, tanggungjawab untuk merealisasi harapan rakyat yang mahu pentadbiran berlandaskan undang-undang, berintegriti, bersih rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa, hendaklah direalisasikan secara bersama oleh ahli-ahli Dewan Negeri, hakim, ulama, umara, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia dan badan-badan beruniform.

“Demikian jua seruan beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia, badan-badan sukan serta rakyat keseluruhannya, agar saling bekerjasama memperlengkap usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh kerajaan beta,” titah baginda.

Related Articles

Back to top button