Semasa

Kerajaan akan guna saluran diplomatik selamatkan rakyat Malaysia jadi mangsa sindiket

Kerajaan akan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan semua mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang terperangkap di luar negara, tegas Menteri Dalam Negeri.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan akan menggunakan hubungan diplomatik atau agensi ke agensi dan perkongsian maklumat perisikan dalam usaha mengesan sekali gus menyelamatkan mangsa berdasarkan prinsip hak untuk kembali.

“Sejak empat, lima tahun kebelakangan ini angka (mangsa) meningkat… dari segi pasukan polis sendiri, apapun langkah menyelamat yang kita buat ada prinsip jelas.

“Pertama, kerajaan akan mengutamakan ‘the right to return’ kepada rakyat Malaysia tak kira apapun. Asal kita ketahui mereka ada di luar dan dalam kesusahan, kerajaan akan buat apa sahaja untuk bawa mereka balik,” katanya.

Saifuddin berkata begitu ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pentauliahan Program Pensijilan Agensi Antidadah Kebangsaan Kedua.

Beliau sebelumnya mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Hishamuddin Hashim yang dilapor media bahawa pihaknya menerima aduan daripada ratusan keluarga meminta bantuan membawa pulang ahli keluarga mereka yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pekerjaan palsu di luar negara

Mengenai bilangan mangsa, Saifuddin berkata pihaknya hanya merujuk kepada jumlah rasmi kes yang dilaporkan kepada pihak berkuasa dan kementerian berkaitan akan membuat pengesanan serta operasi menyelamat sebaik sahaja menerima aduan.

“Sama ada angka itu selari atau sama dengan polis kumpul, melalui aduan keluarga… NGO mungkin ada saluran lain. Penting untuk laporkan angka yang tepat.

“Biarlah kerajaan bertindak atas angka rasmi kerana melaluinya saja boleh melancarkan bantuan melalui kerjasama dengan pihak negara berkenaan,” katanya.

Related Articles

Back to top button