Semasa

KKM siap siaga hadapi banjir, beku cuti kakitangan jika ada keperluan – Menteri

Kementerian Kesihatan (KKM) akan melihat keperluan membekukan cuti kakitangannya di seluruh negara sebagai persediaan bagi berdepan bencana banjir.

Menterinya, Dr Zaliha Mustapa berkata, ketika ini belum ada keperluan untuk arahan itu dilaksana memandangkan beberapa kejadian banjir dilaporkan masih terkawal.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian telah melakukan persediaan menghadapi bencana berkenaan daripada pelbagai sudut termasuklah menyediakan fasiliti dan ubat-ubatan mencukupi.

“Setakat ini kita memantau tapi memang kita sedang bersiap-siaga banjir berlaku bila-bila masa. Saya rasa memang kebiasaannya ada (beku cuti) di mana kita turut peka laporan daripada meteorologi dan sebagainya.

“Jika ada risiko banjir itu memerlukan lebih ramai petugas, mungkin kita terpaksa bekukan cuti namun buat masa ini tiada lagi keputusan muktamad mengenai perkara berkenaan

“Pihak kementerian juga kini telah melakukan persediaan menghadapi bencana banjir dari pelbagai sudut termasuklah fasiliti, ubat-ubatan dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau berkata begitu pada sidang media di Mini Karnival Madani Afiat Zon Bukit Siput Segamat pada Ahad.

BACA LAGI: Selangor buat persediaan awal hadapi sebarang kemungkinan banjir

Malaysia kini masih dalam fasa peralihan monsun. Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan musim tengkujuh yang dikaitkan dengan banjir lazimnya berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) kebiasaannya bermula pertengahan bulan November hingga Mac tahun berikutnya.

Ketika ini rantau negara lazimnya menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang menyebabkan berlaku ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung.

Sementara itu, Dr Zaliha menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dengan penyediaan makanan semasa banjir kerana sumber air, misalnya mudah tercemar dengan bawaan penyakit.

Related Articles

Back to top button