Teknologi

Malaysia mahu belajar kepakaran Jepun guna setelit sebagai ‘internet backhaul’

Malaysia dan Jepun memperkukuh kerjasama dalam bidang penyiaran, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) antara kedua negara .

Ia susulan permeteraian memorandum kerjasama (MOC) antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun di Seri Perdana pada Ahad.

Menteri KKD, Fahmi Fadzil ditemui media selepas menghadiri majlis pertukara MOC itu berkata, kerjasama termasuk dalam sektor pos dan kurier itu adalah lanjutan mesyuarat dua hala sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN di Filipina pada Februari lalu.

Melalui perjanjian kerjasama itu, Malaysia dan Jepun masing-masing akan bertukar-tukar pengetahuan dalam bidang berkaitan.

“Saya lihat MOC ini adalah satu langkah kanan dalam meningkatkan hubungan kedua-dua negara khususnya antara dua kementerian terbabit dalam beberapa aspek termasuk isu seperti keselamatan siber, rangkaian 5G dan ekonomi digital,” katanya.

BACA LAGI: Fahmi seru perniagaan tempatan ambil peluang jadi peneraju penyelesaian 5G

Fahmi sementara itu berkata menerusi MOC itu juga , Malaysia ingin mempelajari beberapa perkara yang telah dilaksana dan diusahakan di Jepun seperti penggunaan internet satelit sebagai backhaul capaian telekomunikasi di beberapa lokasi terutama di pendalaman negara itu.

“Di Jepun, ia telah dilaksanakan pada skala yang sangat besar. Jadi, kita ingin lihat kesesuaian menggunakan teknologi seperti itu di Malaysia,” tambahnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Jepun Fumio Kishida menyaksikan pertukaran MOC itu yang diwakili Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohd Fauzi Md Isa, dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun, yang diwakili Timbalan Menterinya Hiroshi Yoshida.

Related Articles

Back to top button