Anwar

Perbincangan Laporan Ketua Audit Negara perlu diminitkan, perbaiki tata kelola pentadbiran – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian, Ketua Pengarah dan Ketua Jabatan meminitkan perbincangan mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Katanya, ia perlu bagi memperbaiki tata kelola pentadbiran.

Justeru, beliau akan mencadangkan perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk dilaksanakan terutama dalam menangani isu ketirisan.

“Saya minta semua ketua jabatan teliti bukan sahaja perkara yang disentuh mengenai jabatan berkenaan tetapi melihat keseluruhan usul cadangan untuk memperbaiki tata kelola.

“Saya akan cadang kepada KSN supaya semua ini diminitkan. Ketua jabatan, ketua pengarah atau KSU harus meminitkan perbicangan mengenai LKAN supaya disampaikan kepada KSN, supaya dipastikan ia dibincang kerangka besar isu laporan dan teguran ketua audit negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan November Tahun 2023 di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Mohd Zuki.

Mengulas lanjut, Anwar berkata cadangan meminitkan LKAN itu juga penting bagi memastikan masalah sama tidak berulang.

“Saya dahulu masa (menjadi) Menteri Kewangan, saya mempengerusikan jawatankuasa pengurusan anti rasuah, satu jawatan tidak popular kerana ada menteri yang marah kepada saya.

“Pada masa itu pun, kita sudah mengulas mengenai LKAN ada masalah yang terus menerus berlaku.

“Kalau saudara baca laporan beberapa tahun lalu, jam yang patut (berharga) RM400, dikenakan bayaran RM4,000, ada buku sekolah yang tak sampai kepada pelajar tetapi (harga buku) dibayar dan perkara seperti ini, kadang-kadang ia berulang kerana pemantauan kita lemah dan saya katakan ia adalah kerja tanpa nilai,” katanya.

Related Articles

Back to top button