Percubaan sistem pembayaran tol tanpa palang mulai 2024
Kementerian Kerja Raya akan menjalankan percubaan untuk penggunaan tol tanpa palang bermula pada tahun depan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata, kerajaan ketika ini masih sedang dalam proses kajian berhubung pelaksanaan sistem bayaran tol tersebut atau lebih dikenali sebagai Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF).
“Sebenarnya kita telah membuat kajian di banyak negara dan kita nak yang terbaik. Sebab itu sekarang ini dalam proses kajian.
“Dalam masa sama, kita akan cuba pada 2024 penggunaan tersebut secara cubaan. Kita nak melihat kesesuaiannya,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Menurut beliau, pelaksanaan MLFF bagi sistem kutipan tol di lebuh raya akan menggunakan sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) selain sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID).
Ujarnya, dengan pelaksanaan MLFF, pengguna tidak lagi perlu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan bagi membuat bayaran tol, sekali gus meningkatkan kelancaran perjalanan di lebuh raya melalui transaksi pembayaran tol yang cepat dan efisien.
Sistem itu bagi menambah baik mutu pengurusan lebuh raya, terutama daripada segi sistem kutipan tol supaya pengguna tidak perlu bersesak semasa membuat pembayaran.
Setakat ini, terdapat 416 lorong RFID di seluruh lebuhraya seluruh negara.
Baca lagi: