Semasa

Deepavali: Kerajaan setuju beri cuti tanpa rekod, keputusan tol percuma tak lama lagi

Kerajaan Perpaduan sedang berbincang dengan syarikat konsesi lebuh raya berhubung pengecualian pembayaran tol sempena perayaan Deepavali minggu depan.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan di Dewan Rakyat malam tadi.

Jelasnya, cadangan tersebut sedang diteliti dan dibincangkan sebelum keputusannya bakal diumumkan dalam beberapa hari lagi.

“Tol percuma sedang dalam perbincangan termasuk aspek perkongsian kos dengan syarikat lebuh raya dan kerajaan akan umumkan dalam masa terdekat. Mudah-mudahan ada berita baik.

“Saya tak boleh buat apa-apa janji tetapi kita tunggu dalam dua, tiga hari ini,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

BACA: Selangor komited pastikan tiada pihak terpinggir

Sementara itu, kerajaan turut dilapor bersetuju memberikan cuti tanpa rekod sempena Deepavali kepada kakitangan perkhidmatan awam yang menganut agama Hindu di negeri-negeri yang hari kelepasan mingguannya adalah Ahad.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed berkata bagi kakitangan terbabit, yang cutinya jatuh pada 13 November (Isnin) akan dibawa ke 14 November (Selasa), namun ia tertakluk kepada penerimaan pihak berkuasa masing-masing.

“Peruntukan cuti tanpa rekod adalah terikat kepada hari yang dibenarkan sahaja dan tidak boleh dibawa ke hari berikutnya sekiranya cuti tanpa rekod itu jatuh pada hari kelepasan am atau hari kelepasan am mingguan.

“Namun begitu, kerajaan pada 3 November telah bersetuju untuk memberi pengecualian bagi tahun 2023,” katanya dalam surat edaran yang disiarkan di portal Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Difahamkan, cuti tanpa rekod sempena perayaan Deepavali selama sehari iaitu pada hari berikutnya (hari kedua) kepada kakitangan perkhidmatan awam yang menganut agama Hindu merupakan sebagai tambahan kepada cuti umum Deepavali bagi memberi lebih ruang kepada mereka untuk menyambut perayaan itu bersama keluarga.

Peraturan ini, katanya, telah dinyatakan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian SR 5.3.6 dan cuti tanpa rekod itu terpakai kepada semua negeri di Malaysia kecuali Sarawak mengambil kira Deepavali bukan hari kelepasan am di negeri berkenaan.

Related Articles

Back to top button