Mahkamah

Mahkamah tetapkan 21 Disember depan bagi sebutan semula kes bakar, bunuh teman wanita hamil

Mahkamah Majistret Sungai Besar hari ini menetapkan 21 Disember depan bagi sebutan serahan semua laporan berkaitan kes seorang lelaki didakwa membunuh teman wanitanya yang hamil empat bulan pada Mei lalu.

Majistret, Siti Hajar Ali berkata, mahkamah mengambil maklum mengenai tarikh sebutan semula kes bagi penyediaan semua laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

“Saya cuma mengingatkan bahawa kes (kejadian) ini sudah enam bulan berlaku (sejak Mei) dan berharap dokumen berkenaan dapat disediakan pada tarikh sebutan nanti,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri sebelum itu memaklumkan semua laporan itu belum tersedia setakat ini.

Bagaimanapun, Peguam bela Muhammad Nor Tamrin tiada bantahan dan memohon sebahagian laporan itu dapat diserahkan kepada pihaknya.

Muhammad Fakrul Aiman, 20, yang berbaju T putih tiba dengan sebuah kenderaan polis di mahkamah kira-kira jam 10 pagi Selasa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira jam 8.30 malam 22 Mei sehingga jam 8 pagi 23 Mei lalu.

Related Articles

Back to top button