Global

Malaysia negara terawal dapat kebenaran darat bantuan untuk Gaza

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan, Malaysia antara negara terawal diberikan kebenaran oleh kerajaan Mesir untuk penghantaran bantuan kepada penduduk Gaza.

Ditemui pemberita selepas melancarkan Malaysia Digital Expo (MDX2023) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur pada Isnin, Anwar berkata beliau sudah bercakap dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi mengenai misi bantuan dari Malaysia.

Justeru tegasnya, tidak wajar isu Palestin dijadikan modal oleh pihak tertentu untuk mengkritik kerajaan.

“Kerja saya bercakap dengan al-Sisi, percepatkan (bantuan). Malaysia antara negara paling cepat dapat kelulusan pendaratan pesawat bantuan ke Mesir dan seterusnya (penghantaran bantuan) ke sempadan Rafah.

“Usah jadikan isu (Palestin) ini politik. Jangan sesekali membina mahligai atas pusara. Jadi ini ingatan kepada semua buat kerja, cari derma cari bantuan,” katanya.

Sabtu lalu pesawat kargo 9M-WCA yang membawa bantuan kemanusiaan awal peringkat pertama sumbangan ke Palestin menerusi Ops Ihsan dari Malaysia, selamat mendarat di Lapangan Terbang Tentera El-Arish, Mesir.

BACA LAGI: PM Anwar ke Turkiye dan Mesir, bincang isu bantuan kepada Palestin

Pesawat yang disewa khas Kerajaan Malaysia itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Jumaat, tiba di Mesir kira-kira 8.50 pagi (12.50 tengah hari waktu Malaysia).

Bantuan berupa 20 tan barangan perubatan, barangan bayi dan makanan itu, telah diserahkan kepada wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk dibawa masuk ke Gaza melalui lintasan sempadan Rafah.

Lapangan Terbang Tentera El-Arish yang terletak dalam wilayah Sinai Utara, lapangan terbang yang berhampiran dengan sempadan Rafah, iaitu kira-kira 50 kilometer dan juga salah satu pusat untuk menerima bantuan yang diselia di bawah Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

Related Articles

Back to top button