AnwarParlimen

Malaysia tidak iktiraf keputusan AS kenakan sekatan unilateral – PM Anwar

Malaysia tidak mengiktiraf sebarang keputusan mana-mana negara yang dibuat secara sepihak (unilateral), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, pendirian itu dibuat termasuk ke atas Amerika Syarikat yang dalam proses meluluskan suatu rang undang-undang untuk bertindak ke atas negara atau individu yang menyokong kumpulan pejuang Palestin.

“Kita (Malaysia) hanya mengiktiraf keputusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang disebut multilateral.

“Pertamanya, kita tidak bersetuju dengan cara yang dibuat Amerika Syarikat dan keduanya, ia tidak mempengaruhi dasar dan keputusan kita,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, Malaysia bertindak mengikut prinsip yang dipegang selama ini iaitu Hamas mempunyai hak yang sah terhadap perjuangan Palestin.

Untuk menjelaskannya, Ahli Parlimen Tambun itu memberi contoh perjuangan Kongres Kebangsaan Afrika (AFC) bersama Nelson Mandela berjuang membebaskan negara itu daripada dasar aparteid.

“Walaupun kita tidak mengakui (meratifikasi) Statut Rom (dan) maka tak boleh bawa (Israel) ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), tapi kita jelas memberi sokongan kepada mana-mana negara termasuk Palestin merujuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ke ICC,” katanya.

Terdahulu, Dewan Perwakilan AS memutuskan untuk meluluskan rang undang-undang berhubung sekatan ke atas entiti asing yang menyokong Hamas dan Gerakan Jihad Islam di Palestin.

Related Articles

Back to top button