Anwar

PM Anwar beri amaran kepada Harakah kaitkan dirinya dengan Israel

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kenyataan yang dikeluarkan mengenai tuduhan beliau dikaitkan dengan Israel merupakan satu tindakan biadab yang melanggar tatasusila.

Anwar menegaskan bahawa beliau akan mengambil tindakan keras kepada mereka yang sewenang-wenangnya memberikan hukuman biadab dan kurang ajar.

“Mengapa saya marah? Gambar saya dan dibelakangnya bendera Israel. Jadi YB harus faham, YB pun rasa keras, rasa marah dengan Israel, saya pun begitu.

“Jadi apabila dibuat begitu walaupun tiada ‘caption’, saya rasa Harakah boleh betulkan,” katanya.

Beliau menjelaskan sebab beliau marah dengan tindakan akhbar Harakah yang memaparkan gambar beliau dengan bendera Israel bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad.

Jelasnya, beliau terbuka terhadap apa jua kritikan dan cercaan pembangkang dalam apa jua isu namun dalam soal Palestin ini tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya.

Pada masa yang sama, Anwar turut menyeru semua pihak termasuk pembangkang untuk bersama membawa idea baharu dalam isu Palestin bagi mengurangkan penderitaan yang sedang ditanggung rakyat negara itu.

“Saya tidak pernah menyinggung Pas kerana saya tahu pendirian Pas, sangat konsisten dalam Palestin.. tidak mahu berbalah dalam soal ini kerana derita ditanggung mereka (Palestin) tidak pernah berlaku separah ini dalam sejarah.

“Mari kita bersama membawa idea dan tindakan supaya dapat meleraikan atau mengurangkan beban mereka,” katanya.

Related Articles

Back to top button