Sukan

Sebahagian hasil tiket perlawanan Malaysia- Kyrgyzstan disumbangkan ke tabung Palestin

Peminat bola sepak tempatan berpeluang menyumbang kepada Palestin melalui aksi perlawanan skuad Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 16 Nov ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi dipetik laporan media berkata, setiap RM2 daripada setiap pembelian tiket perlawanan saingan Kumpulan D pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 itu akan disumbangkan ke tabung Palestin.

“Selain tanda soladiriti kepada rakyat Palestin, ia juga bertujuan membantu rakyat negara itu yang menjadi mangsa kekejaman rejim Israel di Gaza ketika ini,” katanya.

Mohd Yusoff berkata begitu kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM dipengerusikan Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM di Kelana Jaya di Petaling Jaya pada Isnin.

BACA LAGI: KPM audit alatan sukan sekolah, jamin keselamatan pelajar

Beliau sementara itu memberitahu FAM menetapkan harga tiket iaitu RM40 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak enam hingga 12 tahun bagi Kategori Terbuka; RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

“Penetapan harga-harga tiket tersebut diputuskan oleh Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk peningkatan semasa kos berkaitan iaitu melibatkan kos pengurusan dan penganjuran perlawanan.

“Penetapan RM40 bagi Kategori Terbuka adalah berdasarkan taraf perlawanan ini iaitu perlawanan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia yang pastinya berbeza dengan harga tiket perlawanan antarabangsa Tier 1 iaitu RM30 bagi Kategori Terbuka,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, selain sumbangan untuk tabung Palestin, setia RM1 daripada setiap jualan tiket bagi perlawanan menentang Kyrgyzstan turut akan disumbangkan ke tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya.

Related Articles

Back to top button