Tindakan tegas kepada pihak buang sampah, cemarkan Sungai – Akmal Nasir
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjalankan penguatkuasaan lebih tegas berhubung usaha menjaga kelestarian alam sekitar.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, bagi tujuan itu kementeriannya tidak menolak untuk membatalkan lesen perniagaan milik peniaga yang dikesan membuang sampah atau melakukan pencemaran membabitkan sisa pepejal perniagaan ke dalam sungai.
“Saya sudah berbincang dengan Yang Dipertua (YDP) dan wakil Datuk Bandar iaitu untuk peringkat PBT kita memberi komitmen sekiranya ada peniaga yang ditangkap membuang sampah atau membuat pencemaran ke anak sungai, kita tidak akan teragak-agak membatalkan lesen perniagaan mereka.
“Jadi untuk pemantauan itu memang pihak PBT Selayang di bawah Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sudah beri komitmen supaya perkara ini kita elakkan daripada mencemari sungai,” katanya.
Akmal berkata begitu ketika ditemui pemberita ketika sesi lawatan kerja bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad ke Sungai Jinjang, di Selayang pada Isnin.
BACA LAGI: Kerajaan Johor laksana langkah proaktif tangani isu pencemaran jajaran Sungai Skudai
Mengulas lanjut mengenai usaha memastikan kelestarian alam sekitar itu, Akmal turut menjelaskan pihaknya juga memastikan pengurusan termasuk operasi kutipan sampah di pasar basah termasuk Pasar Harian Selayan dan Pasar Borong Kuala Lumpur dilakukan mengikuti aturan ditetapkan.
Masyarakat juga jelasnya perlu diberi kefahaman supaya kesejahteraan awam perlu dipertingkatkan.
“Kita perlu mencegah pembuangan sisa pepejal (tidak diurus dengan baik dan dibuang ke sungai), kos (penyelenggaraan) akan lebih tinggi dan kemudaratan kepada masyarakat juga lebih besar,” jelasnya.