Nasional

Dua pasukan robotik SK Sri Maulana wakili Malaysia ke China

Dua pasukan robotik Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Maulana, di Pekan, Pahang terpilih mewakili negara ke Pertandingan Robotik Antarabangsa MakeX 2023 di Yantai Shandong, China, bulan depan.

Pemilihan berdasarkan kejayaan empat murid Tahun Lima dan Enam sekolah luar bandar itu yang dinobatkan juara kategori MakeX Starter pada pertandingan Malaysia MakeX 2023 Robotics di Universiti UCSI, Kuala Lumpur bulan lalu.

Guru Besar SK Sri Maulana, Rozita Buang berkata pembangunan robotik di sekolah itu bermula Mei lalu dengan tumpuan utama hanya untuk bersaing di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Katanya, dua pasukan robotik SK Sri Maulana yang akan mewakili negara bertanding di pentas antarabangsa di China bulan depan ialah dua adik beradik, Nurul Iffah Mazlan, 10 dan Nurul Izzah, 11 bersama Irham Nawfal Ahmad Saiful, 10 serta Muhammad Adel Hafiey Zool Hilmi, 11.

“Pembangunan robotik di peringkat sekolah ini bermula dengan kemunculan tiga individu yang kini menjadi mentor pasukan robotik, Mazlan Muhamad Yusof, Mok Ren Hao dan Noor Aslizawati Abd Hamid serta kerjasama dengan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Kolej Komuniti Pekan.

“Bagi pertandingan di China bulan depan, kita berusaha mendapatkan penaja bagi membiayai empat murid yang bertanding.

Perbelanjaan RM1,500 bagi setiap murid bagi menyediakan wang saku dan pakaian musim sejuk,” katanya, di Pekan.

Rozita berkata, pihaknya juga memerlukan penaja bagi menyediakan dua unit robot berharga RM5,000, selain meringankan beban pasukan yang kali pertama bertanding di peringkat antarabangsa.

“Pasukan kita akan berhadapan saingan sengit daripada pasukan terkemuka dalam robotik seperti tuan rumah China, Jepun dan Korea.

Pertandingan kali ini akan menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta mewakili 70 negara,” katanya.

Related Articles

Back to top button