PM Anwar lepas peserta RFC, imbau pelancaran sulung 26 tahun lalu
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2023.
Beliau yang tiba di Dataran Putra kira-kira jam 5.20 petang disambut Pengasas dan Pengarah Rainforest Challenge & Rainforest Global Series, Luis J.A. Wee.
Luis yang ditemui pemberita berkata, acara permotoran lasak edisi kali ini disertai 300 peserta dari 15 buah negara akan ‘berkampung’ di Perak bermula 1 hingga 11 Disember ini .
Mereka bakal meredah laluan hutan dan kawasan pedalaman di Sungai Siput, Kuala Kangsar, Lenggong dan Gerik sebelum kembali ke Ipoh untuk majlis penutup pada 11 Disember.
“RFC Grand Final di Perak merupakan kali kedua diadakan setelah kali pertama pada 2004 dan negeri itu dipilih kerana mempunyai pelbagai tarikan selain sesuai untuk aktiviti sukan permotoran lasak.
“Diharap penganjuran RFC Grand Final dapat menonjolkan Malaysia dan Perak kepada peserta tempatan dan asing sebagai satu destinasi pelancongan yang paling menarik dan unik,” katanya.
Luis sementara itu turut mendedahkan, pelepasan edisi kali ini lebih istimewa kerana mengimbau kembali pelancaran edisi sulung RFC yang mana ketika itu dilancarkan oleh Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1997 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
BACA LAGI: Selangor lancar projek rintis kumpul sisa buangan elektronik secara terurus
Malah Perdana Menteri jelasnya turut menyatakan rasa bangga apabila RFC itu dinobatkan tempat ke-3 daripada 10 pertandingan permotoran paling lasak di dunia sebaris dengan Dakar Rally, BAJA Race.
“Sepanjang 26 kali penganjurannya, acara ini telah mencapai kejayaan dalam membantu mengharumkan nama negara di mata dunia dan seterusnya mempromosikan Malaysia sebagai hab pelancongan sukan permotoran lasak,” tambahnya.
Pada majlis itu, perdana menteri berkesempatan menyantuni peserta, pegawai pengiring dan urusetia RFC sebelum membuat pelepasan 20 jentera pacuan empat roda bagi acara itu.