Semasa

Skim baharu gaji penjawat awam diumum tahun hadapan

Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSP) yang baharu bagi penjawat awam bakal diumumkan selewat-lewatnya akhir tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) 2023, di Putrajaya malam tadi berkata, garis panduan mengenai pelaksanaan skim baharu itu akan dikeluarkan awal tahun 2024.

“Kita akan keluarkan beberapa garis panduan awal tahun depan supaya sebelum akhir tahun 2024 kita boleh umumkan skim gaji baharu itu.

“Saya akui dasar kita selama ini ada kajian penyelarasan gaji bagi setiap 10 tahun dan ketika ini, skim lama sudah masuk tahun ke-12.

“Sebelum ini tidak ada kajian menyeluruh tetapi sekarang saya telah umum dan akan lakukan kerana ini akan mengambil masa memandangkan ia melibatkan semua jabatan,” katanya.

Sebelum ini, Anwar mengarahkan supaya Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSP) disiapkan pertengahan tahun depan untuk memastikan struktur gaji baharu kepada penjawat awam dapat diumumkan dalam belanjawan akan datang.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini, kerajaan bersetuju memberi bayaran insentif awal Kajian SSP RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

BACA LAGI:PM Anwar gesa sektor swasta kaji kadar upah, gaji pekerja

Kerajaan turut memberikan RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam membabitkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata serta seluruh anggota beruniform.

Bayaran insentif RM1,000 turut diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen yang akan diberikan pada akhir Februari 2024

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya turut menegaskan Kerajaan Madani yang dipimpinnya mempunyai dasar jelas untuk mengangkat tahap ekonomi dan kesejahteraan rakyat sekurang-kurangnya dalam tempoh empat tahun ini sebelum pilihan raya umum akan datang.

Related Articles

Back to top button