Semasa

Tohmah PM Anwar lemah bela Palestin tindakan berniat jahat

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil menyelar tindakan pihak tertentu yang membuat kenyataan tohmahan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah lemah dalam isu Palestin.

Ditemui pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Putrajaya pada Selasa berkata, penglibatan Anwar dalam isu Palestin amat jelas apabila mengambil bahagian dalam beberapa siri rundingan di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri juga tegasnya berikhtiar bersungguh-sungguh untuk mencari penyelesaian bagi konflik tersebut berlandaskan undang-undang.

“Perdana Menteri juga telah menyanggah beberapa perkara tentang fitnah yang dibuat oleh pihak tertentu terhadapnya seolah-olah beliau lemah dalam isu Palestin sampai ada grafik yang mengaitkan beliau dengan logo atau bendera Israel.

“Ini bagi saya adalah satu tohmahan yang bersifat jahat,” kata Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, Anwar turut memberi amaran di Dewan Rakyat bahawa beliau akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengaitkannya dengan Israel, mengeluarkan kenyataan biadap dan melanggar tatasusila selain menyeru semua parti dan rakyat agar bersolidariti dalam isu Palestin serta tidak mempermainkan ia sebagai bahan politik.

Presiden Pas, Abdul Hadi dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Muktamar Pas baru-baru ini mendakwa sokongan Perdana Menteri terhadap Palestin tidak cukup kuat.

Walau bagaimanapun Fahmi pada 21 Oktober lalu menegaskan Abdul Hadi berpeluang untuk mempersoalkan tindakan Perdana Menteri berhubung isu Palestin di Dewan Rakyat namun gagal berbuat demikian apabila Ahli Parlimen Marang itu sepanjang 9 hingga 19 Oktober hanya hadir sehari sahaja ke Dewan Rakyat.

BACA LAGI: Fadlina kecewa Minggu Solidariti Palestin dipolitikkan hingga jadi polimik

Sementara itu Fahmi turut menjelaskan bahawa kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada 24 Oktober lepas telah disalah tafsir oleh beberapa pihak seolah-olah kerajaan mencadangkan untuk mengeluarkan rakyat Palestin ‘secara fizikal’ dari Gaza.

“Apa yang dimaksudkan ialah keluarkan mereka daripada kesempitan serta kesengsaraan yang mereka hadapi akibat konflik…,” katanya.

Related Articles

Back to top button